Aku Lelaki

September 12th, 2005 by littlelaziaf

            Laziaf membetulkan duduknya. Kakinya dilunjurkan kedepan. Paha dan betis yang kebas dipicit perlahan. Bayu malam yang segar disedutnya dalam-dalam. Dihembuskan kuat bersama-sama keluhan. Keluhan mengenai nasib dirinya yang malang. Keluhan segala beban penderitaan yang ditanggungnya selama ini. Kesepian yang melanda dirinya sejak dia muncul di tempat ini. Sekali lagi nafas disedut dalam, kali ini ia dihembus keluar bersama batukan kecil. Laziaf tersedak. Tapak tangannya didekatkan didada. Diurut perlahan. Masih terasa sakitnya. Bisanya sudah berkurangan namun pedihnya tetap terasa.

                Kadang-kadang dia menyesali perjalanan hidupnya kini. Pada usia semuda itu dia perlu melalui semuanya ini. Adakah dia dicipta untuk tidak menemui kebahagiaan? Adakah dia dilahirkan untuk menerima penderitaan. Penuh dengan kekecewaan. “Argh! Aku memang insan yang lemah! Tidak berguna! Bangsat! Diri sendiri pun tidak mampu untuk dipertahankan” batinnya menjerit. Lemah sekali. Jelas nada kesal dihujung nafasnya.

                Laziaf mendongak. Pekat gelap langit malam itu. Bintang-bintang samar berkelipan. Sang rembulan malu-malu menonjolkan dirinya. Terkadang hilang ditelan awan. Terasa mereka pun mentertawakan dirinya. Oh tuhan! Berilah kekuatan kepada ku. Naikkanlah semangat aku. Agar dapat aku meneruskan hidup yang penuh onar ranjau ini. Bayu malam berhembus perlahan. Kesejukan tiba-tiba mencengkam. Dia berpeluk tubuh, namun masih menggigil.

                Terasa bahunya ditepuk dari belakang. Dia menoleh. “ Hi! Tak sejuk?” seorang jejaka sedang berdiri dibelakangnya. Senyuman mesra terukir dibibir. Tiada balasan sapaan yang dilemparkan Laziaf. Lantas jejaa itu mengambil tempat yang kosong disebelah Laziaf. “Nah” ujarnya sambil menghulurkan sehelai jaket. Laziaf memandang raut wajah insan yang begitu perihatin perihal dirinya. Seseorang yang mengambil berat akan dirinya. Siapa sangka disebalik wajah yang redup ini tersembunyi lara. Seperti dirinya.

                “Abang beri jaket ni, pakai. Sejuk. Bukan dipegang je. Bak sini,” pantas dia merampas jaket hitam itu lalu disarungkan ke badan Laziaf.

                “Aduh! Bang, perlahan sikit. Sakit,”

                “Maaf,” senyuman dari insan yang dipanggilnya abang itu menghilangkan segala kesakitan. Lenyap ditelan kegelapan malam. “Buat apa di sini malam-malam? Tak takut demam?” Laziaf masih membisu seribu bahasa. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. “Masih marahkan abang?” Laziaf berpaling. Melihat seraut wajah yang mengharapkan balasan.

                Dia baru beberapa minggu mendaftarkan diri di sekolah baru ini. Pertama kali menjejakkan kaki ke tempat yang asing, amat menakutkan. Semuanya serba baru. Bukan dia tidak biasa berjauhan dengan ibu bapa. Dia selalu bersendirian dirumah tanpa teman. Dia tidak selesa. Tidak seselesa rumahnya. Tilam yang tidak empuk. Bilik yang berbau. Almari baju yang rosak. Berhimpit di dalam bilik yang kecil. Ahli-ahli asrama yang kurang mesra. Abang- abang yang garang. Kurangnya kawalan diri. Detik-detik awal disini adalah kenangan buruk baginya.

                Dia dikenali sebagai anak orang kaya. Junior yang paling kurang disenangi dikalangan senior. Rakan-rakan sebaya juga seperti menjauhkan diri darinya. Dia bukan sombong. Dia cuba berkenalan tetapi tiada yang ingin mengenali dirinya. Dia amat tertekan.

                Sering dia tidak cukup tidur. Tersengguk-sengguk di dalam kelas. Gara-gara dipanggil senior dan dibuli. Setiap kali berselisih dengan senior-senior ini dia rasa yang mereka sedang mencari idea baru untuk mengenakannya. Dia pernah dipaksa mencuci tandas pada lewat malam. Walaupun sudah putih berkilat dia tetap dipaksa cuci. Setiap malam dia akan mencuci kesemua baju senior. Kadang kala sehelai baju akan dicuci berkali-kali dalam sehari. Semata-mata ingin melihat kononnya anak orang kaya ini menderita. Satu perkara yang tidak dapat dilupakan, satu malam minggu dia dipanggil ke belakang asrama. Dia diugut dengan bermacam perkara yang dia sendiri tidak faham. Dia dipukul bertubi-tubi. Dia diserang hingga layu. Akhirnya, segala pakaian dilucutkan dan dia dibiarkan di dalam semak. Lesu tidak bermaya. Tidurlah dia disitu bertemankan gigitan nyamuk yang menyengat setiap inci tubuhnya yang tidak dibaluti apa-apa.

                Dia tidak pernah membantah. Tidak pernah melawan kembali. Tidak pernah bertanya kenapa dan mengapa. Dia terima semua itu dengan hati yang terbuka. Semuanya dipendam. Kalau itulah yang perlu dia lakukan untuk diterima sebagai ahli. Dia sanggup lakukan apa sahaja. Itulah yang dibisikkan oleh hatinya yang cetek. Akal seorang budak. Tetapi dia bangga. Namanya menjadi sebutan setiap senior. Dia menjadi rebutan semua untuk dijadikan balaci. Perlukah dia bangga untuk itu?

                Hujung minggu itu dia dapat berehat. Asrama lengang. Semua pelajar dibenarkan untuk pulang bermalam dirumah. Termasuklah mereka yang selalu berebutkannya. Puas dia bergolek ke kiri ke kanan. Namun lena masih belum menjelma. Sepatutnya dia mengambil peluang ini untuk berehat. Kembalikan tenaga yang telah dibazirkan. “Argh!” bosan dia meluru keluar dorm. Perlahan langkah dihayun menuju ke hujung koridor. Mata-mata tangga dipanjat satu persatu. Destinasinya, bumbung sekolah. Di situlah tempat dia meluahkan segala yang terbuku dihatinya. Tempat dia bermandiri. Tempat mencari kedamaian. Hanya dia dan langit malam disitu. Tiada kaki buli.

                Tiba-tiba terdengar suara orang bertengkar. Dia tidak mahu mencampuri urusan mereka tetapi kakinya melangkah ke arah datangnya suara itu. Dengan rasa ingin tahu. Badannya dibongkokkan sedikit, bersembunyi disebalik tangki air yang besar. Perlahan dia menyusup sehingga jelas dimata dan telinga akan apa yang berlaku.

                “Bangsat! Mana duit aku Lazir. Kau janji nak bayar hari ini,”

                “Eros, berilah aku sedikit lagi masa. Aku janji akan bayar kau lepas ni. Aku tiada duit sekarang,” Lazir melutut di hadapan Eros. Kaki Eros kejap ditangan Lazir. Merayu bak peminta sedekah.

                “Bodoh! Tak cukup lagi ke masa yang aku beri? Barang kau aku hantar tepat pada masanya, tapi duit aku kau nak lewat-lewat bayar. Banyak cantik. Ambil ni,” Eros menghayun satu tendangan. Lazir terjelopok beberapa sentimeter ke belakang. Eros menghampiri Lazir. Kepala Lazir dipijak Eros. Tiada langsung belas kasihan.

                “Hei!” Laziaf tersentak. Dia menoleh kebelakang. “Kau mengintip kami ya?” leher bajunya dicekak. Dia diheret kehadapan. Kepada Eros. “Eros, tengok siapa aku jumpa,”

                “Wah! Wah! Kau dah pakai balaci ya sekarang. Kiranya penyelamat kau lah ya. Kau nak suruh dia panggil siapa hah? Polis?” Laziaf ditolak kedepan. Dia terdorong mendekati Eros. Dia menggigil ketakutan. Eros bukan macam seniornya. Eros macam samseng. “Tapi comel jugak balaci kau ni Lazir. Kalau aku buat bisnes boleh untung besar. Muka tak bersalah. Putih bersih. Gebu. Sedap untuk dipeluk dan dipermainkan. Dan yang penting masih teruna,” Eros ketawa besar. Ketawa yang menakutkan. “Bangsat! Dia milik aku. Kau bayar pokok minggu depan. Jangan cakap aku tak bagi peluang kat kau,”

                “Hei budak. Terima kasih,” Lazir bersuara tiba-tiba. “Terima kasih sebab bayar hutang aku,” Eros tersentak. Langkahnya terhenti. Dia berpaling mengadap Lazir yang cuba berdiri. “Aku cuba bersikap baik. Berterima kasih pada orang yang sanggup membantu aku,” wajah Eros semakin menggerunkan. Dia merenung tajam Lazir. Seperti ada sesuatu yang tidak kene dengan kata-kata yang diujarkan Lazir. Laziaf yang dipeluknya dihenyak ketepi.

                “Budi, Baji, jaga budak ni. Jangan terlepas,” Eros menghampiri Lazir yang sudah tegak berdiri. Satu pelempang hinggap di pipinya. “Ketua apa kau ni? Anak buah sendiri tak mahu pertahankan,” satu lagi pelempang dihadiahkan.

                “Pertama, dia bukan anak buah aku. Kedua, aku tidak kenal dia langsung. Kalau dia boleh bayar hutang aku. Aku berterima kasih,”

                “Bangsat!” kali ini Eros menumbuk perut Lazir. “Manusia tak berhati perut. Biar aku ajar kau,” katanya sambil mencekik Lazir. “Budi, Baji, habiskan kerja,” Budi dan Baji menghampiri Laziaf. Laziaf terkedu. Apa yang haprak ini akan lakukan. Apa yang akan terjadi kepada dirinya. Dia menyesal kerana tidak sahaja tinggal di bilik. Dia menyesal kerana berada di tempat yang salah pada masa yang salah. “Bangsat kau Lazir,” Eros menumbuk Lazir. Dia terduduk. “Ambil ni Lazir bodoh,” satu tendangan hinggap ke perut Lazir. Dia mengerang kesakitan.

                Di satu sudut, Laziaf meraung kesakitan. Kelihatan Budi mencekak leher baju Laziaf. Tangan kanan Budi melepaskan satu tumbukan tepat ke perut Laziaf. Tidak cukup sekali. Berkali-kali Laziaf ditumbuk. Lagaknya umpama ahli silat berlatih pada pedu pisang. Dapatkah budak sekecil Laziaf menerima semua itu. Belum pun sakit ditumbuk hilang Budi menghenyak belakang Laziaf. Laziaf terbongkok. Dikesempatan itu Budi menendang Laziaf tepat ke dadanya. Laziaf terpelanting ke dinding tangki air. Tiada suara yang keluar dari mulut Laziaf. Tiada erangan kesakitan. Syaitan-syaitan itu masih belum puas. Baji mencekik Laziaf. Laziaf terdorong ke atas. Pipinya ditempeleng beberapa kali lalu dihumban ke lantai. Nafas Laziaf pendek-pendek. Lesu. Tiada lagi tenaga untuk melawan. Malah tiada lagi tenaga untuk hidup.

                “Cukup!” lantang Eros menjerit sewaktu Budi mahu menyambung tugas Baji. “Kau berdua nak membunuh?” jerkah Eros. “Bangsat!” Eros merenung Lazir. “Ini semua salah kau. Budak tu tanggungjawab kau. Aku beri kau dua minggu. Atau kau menempah maut,” gertak Eros sebelum meninggalkan bumbung asrama itu. Selamatkah Laziaf dari maut?

                Lazir berusaha menghampiri budak yang nyawa-nyawa ikan. Terbit rasa kasihan padanya. Tidak dapat berjalan dia merangkak. Tidak dapat merangkak dia mengensot. Semakin mampir dia. Mata Laziaf terpejam rapat. Dadanya tidak berombak. Darah keluar dari hidungnya. “Hei budak! Kau salah masuk gelanggang. Kenapa kau perlu datang?” Lazir cuba memangku Laziaf, dia juga tidak berdaya. “Celaka kau Eros!” bergema suara Lazir memecah keheningan pagi itu di asrama Sekolah Lakan Tagnas.

>redz’laziaf<